Tuesday, August 11, 2009

SEIMBANG yang tidak SEIMBANG


Sewaktu kita sedang berdansa.
Sewaktu kita sedang berzina.
Sewaktu kita sedang berpelukan dengan teman wanita kita,
Sewaktu kita sedang memakan harta anak yatim,
atau
Sewaktu kita sedang melakukan DOSA.


Tiba - tiba sahaja menjelma malaikat Izrail. Memberikan salam dan menyatakan bahawa dia bertugas untuk mencabut nyawa kita.


Saya yakin, kita akan terus teringat kepada sejadah, kita akan terus teringat kepada tasbih dan kita akan terus teringat kepada masjid.


Kononnya kita menyatakan bahawa kita hendak menseimbangkan dunia dan akhirat. Jadi, selepas kita berdansa, dalam keadaan berpelukan dengan pasangan kita dalam keadaan ghairah, diwaktu itu pula kita baru sahaja meneguk air beralkohol hingga menyebabkan kita menjadi mabuk. Selepas kita melakukan segala maksiat, kemudian kita akan bersolat dan bertaubat.


Persoalannya ialah, kita tidak tahu bila waktu, ketika dan saatnya kita akan menemui ajal.


Jika kita mati dalam keadaan sedang sujud kepada Allah, maka Alhamdulillah. Tetapi seandainya kita mati dalam keadaan kita sedang melakukan maksiat ... na'uzubillah himinzalik.


Jadi, persoalan pokok ialah. Aku secara peribadi tidak pernah mempercayai kata - kata - "Kita mestilah seimbang antara amalan dunia dan akhirat ... kerana tidak pernah wujud satu alat untuk menimbang amalan kita didunia ... yang ada hanyalah neraca Allah diakhirat kelak.

Friday, August 7, 2009

Kenang DOSA


Dahulu ... sewaktu sihat ... berapa lama aku tinggalkan sejadah ...


Kini, aku bersyukur yang teramat sangat, kerana Allah masih lagi memberikan peluang untuk aku bertaubat dengan taubatan nasuha. Taubat yang sebenar - benarnya. Memohon bersungguh - sungguh dari Allah segala keampunan.


Jangan diingat peristiwa lama. Itulah pesanan ramai ulamak. Yang penting teruskan usaha dan jangan tinggalkan solat.


Aku tetap akan ingat pesanan seorang hamba Allah, yang begitu sederhana kehidupannya, beliau memberikan nasihat yang begitu mudah sekali. Ingat Allah dan sentiasa bertaubat. Sentiasa beristighfar. Lafazkan istighfar ataupun zikir didalam hati istighfar, samada dalam keadaan bersendirian mahupun dalam keadaan ramai.


Kerana, dengan sentiasa beristighfar, akan menyebabkan hati merasa takut untuk berbuat dosa dan rasa 'kecut perut.' Dan sentiasa ingat ... dimana sahaja kita pergi, jika tidak menjadi suatu perkara yang berat, maka singgahlah dimana - mana tempat yang boleh besolat dan lakukanlah solat sunat tahiyyatul masjid.


Ya Allah ... terimalah taubat hambamu ini ...

Tuesday, August 4, 2009

Menulis untuk SEJARAH


Satu hari nanti. Satu ketika kelak. InsyaAllah, aku akan menggabungkan kesemua blog yang aku kendalikan buat tatapan masyarakat.


Kesemua blog itu mempunyai identiti tersendiri. Dan aku akan terus menulis dengan izin dariNYA. Aku akan menulis sesuatu yang akan menjadi sejarah. Sesuatu akan akan menjadi bahan untuk direnung bersama.


Sehingga kini, kehidupan aku masing terumbang - ambing. Dan aku terus berserah diri kepada Allah. Aku masih terus bermunajat kehadrat Nya.


InsyaAllah, tulisan ini akan menjadi antara bahan cerita yang akan dibaca oleh bukan sahaja keluarga malahan oleh sesiapa sahaja yang mengenali diri aku.


Aku akan terus merakamkan kisah kehidupan aku disini dan dibeberapa buah blog lagi dengan identiti dan kisah yang berbeza.


Dan blog ini, antara tujuan dan matlamat ianya dibangunkan ialah untuk memberikan penghormatan kepada karya penulis yang aku kagumi iaitu Abdul Latip Talib. Beliau adalah diantara penulis yang berjasa besar dalam kehidupan aku. Beliau adalah insan yang paling banyak membantu aku meneruskan kehidupan dikala aku dalam kesusahan.


Andainya aku tidak menjadi penulis tersohor. Aku akan terus menulis didalam blog ini, untuk mendekatkan manusia kepada Allah dan kepada sesama manusia.

Monday, July 27, 2009

Semangat tetap ada.


Bila aku pandang sekeliling, aku dapati kehidupan aku sebenarnya dikelilingi oleh novelis. Khususnya dari ALAF 21. Mereka begitu banyak memberikan perangsang, dorongan, dan semangat untuk aku terus menulis.


Jadi dimana silapnya aku ?


Hingga kini, aku masih belum menyiapkan walau sebuah menuskrip. Hatta, sudah memakan masa hampir 3 tahun. Dan masih tidak ada kelangsungan hatta tidak ada penyudahnya.


Adakah aku perlukan seorang MENTOR yang perlu duduk disebelah aku ? Ah, orang lain juga menulis dan tidaklah 'semengada - ngada' aku.


Ada ketikanya bila idea datang mencurah - curah, aku begitu bersemangat kental dan waja untuk melakukannya. Tetapi bila idea kering, maka aku lebih banyak membaca.


Lalu aku teringat kata - kata novelis Faisal Tehrani. Bagaimana beliau mendapatkan nasihat dari A. Samad Said, lalu Pak Samad berkata.


"Syarat pertama ialah membaca, syarat kedua ialah membaca, syarat ketiga ialah membaca, syarat keempat ialah membaca, dan syarat kelima ialah menulis."


Ini membawa maksud, untuk menjadi seorang penulis ialah mesti banyak membaca. Jadi, adakah aku sudah cukup banyak membaca ?

Monday, July 20, 2009

Jadi, anda mahu menulis ?


Sudah ramai yang mengesyorkan supaya aku menulis. Dan sememangnya aku berminat untuk menulis. Entah mengapa, entah kenapa, entah bagaimana, sehingga kini aku masih tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan untuk menulis. Sejujurnya hati aku tidak tetap. Semenjak musibah dan ujian dari Allah datang dengan tiba - tiba dan terus menerus serta tidak ada penghujungnya. Maka semangat untuk aku menulis terus luntur.


Hinggalah buku ini tiba. Aku masih belum dapat membuat sebarang keputusan muktamad. Jiwa aku masih kacau bilau. Hati aku masih tidak tenteram. Fikiran aku masih tidak tenang.


Sesudah berbulan - bulan lamanya aku berserah diri kepada Allah. Memohon petunjuk dari NYA. Namun aku tidak pasti apakah sudah ada petunjuk dari NYA ?


Satu ketika, tiba - tiba sahaja idea untuk menulis turun mencurah - curah, hingga aku terasa menggigil. Terasa seperti tidak sempat untuk aku mencatatkan semuanya. Segalanya. Aku terus menulis dan terus menulis dan terus menulis. Kisahnya ialah bagaimana aku sedang lapar. Sejujurnya, beras telah habis dan tidak ada barang 10 sen pun didalam poket aku. Aku seperti terasa hendak pergi ke pejabat ADUN. Tetapi aku rasa malu yang teramat sangat, kerana satu ketika, aku pernah memohon sekampit beras, namun petugas dipejabat itu telah bertanyakan pelbagai soalan, hingga aku terasa soalan yang diberikan itu benar - benar menjatuhkan maruah aku.


Alhamdulillah, satu ketika seorang insan yang begitu banyak membantu aku telah menyiarkan sebuah entri tentang sebuah buku yang bertajuk - Jadi, anda mahu menulis ? Hasil karya Prof. Madya Dr Umi Kalthum Ngah.


Aku lantas menyuarakan hasrat hati untuk meminjam dari Prof Madya Nurazzah8. Namun, rupa - rupanya beliau telah bersedia untuk menghadiahkan kepada aku buku tersebut.


Dan, buku itu telahpun berada bersamaku. Dan InsyaAllah, aku aku berikan pendapat aku yang teramat cetek ini berhubung dengan kelebihan buku ini. Sebuah buku yang tidak tebal, tetapi cukup ringkas untuk difahami oleh seorang yang tidak berpendidikan tinggi seperti aku.


Buat permulaan ini, biarlah aku menulis di dalam blog. :)



Friday, July 17, 2009

REZEKI MENULIS


Syukur Alhamdulillah. Ada beberapa nama orang sahabat aku yang telah tersenarai sebagai pengarang yang menerima royalti tertinggi didalam arena penulisan.


TAHNIAH !


Semoga usaha anda terus cemerlang.


Aku berniat untuk membawa seorang lagi sahabat aku untuk masuk kedalam senarai seperti dibawah. InsyaAllah.


30 Pengarang PTS yang Menerima Royalti Tertinggi bagi Jualan Tahun 2008

Eksekutif Kewangan PTS (royalti), Cik Norizah Wahid, melaporkan nama 30 orang pengarang PTS yang paling banyak menerima royalti bagi jualan tahun 2008:

1. Dr. Danial Zainal Abidin
2. Ain Maisarah
3. Ainon Mohd.
4. Farihah Iskandar
5. Abdul Latip Talip
6. Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim
7. Ezee Rahmani
8. Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad
9. Sophia Qistina
10. Ann Wan Seng
11. Ahmad Fadzli Yusof
12. Zaid Akhtar
13. Kusyi Hirdan
14. Dato' Dr. Haron Din
15. Mohammad Rozani Pawan Chek
16. Ainin Naufal
17. Umi Kauthar Abdul Razak
18. Dato' Dr. Fadzilah Kamsah
19. Shamsuddin Abdul Kadir
20. Dato' Abd. Hadi Awang
21. Aizam Aiman
22. Salina Ibrahim
23. Natasya Effyzal
24. Razzi Armansur
25. Fred Suriya
26. Meor Shariman
27. Ahmad Naim Jaafar
28. Sunthara Segar
29. Mardzelah Makhsin
30. Umi Kalthum Ngah

Nota: Peraturan kewangan PTS tidak mengizinkan orang lain tahu jumlah royalti yang diterima oleh seseorang penulis, melainkan dengan arahan mahkamah.


Disalin dari blog

http://universitipts.com

Saturday, July 11, 2009

Membaca dalam gelap.


Jika kita dalam keadaan bersedih, maka bacalah sesuatu yang boleh menghiburkan. Jika kita dalam keadaan bergembira, maka bacalah sesuatu yang boleh menginsafkan.


Aku tidak pasti dari mana datangnya ayat - ayat itu. Tetapi, ianya sesuatu yang memberikan gambaran bahawa dengan membaca sebenarnya berupaya membentuk jiwa manusia seupaya menjadi kental.


Tiba - tiba sahaja, sewaktu membaca, bekalan elektrik terputus. Waktu itu, masing - masing sedang sibuk membaca. Aku sedang membaca buku. Isteri aku sedang mengajar anak kecil membaca. Ada pula yang sedang membaca Al Quran.


Kami semua riuh sebentar akibat tiada elektrik. Namun, kemudian kami semuanya mendiamkan diri. Aku bergerak perlahan - lahan dalam kegelapan untuk mencari lilin didapur.


Setelah lilin dinyalakan, kami semuanya terus sahaja memberikan tumpuan kepada apa yang telah kami lakukan iaitu menyambung membaca.


Terasa kelainan dan keseronokan pula membaca didalam keadaan diterangi oleh cahaya lilin. Teringat suatu ketika dahulu, dimana sewaktu aku kecil. Kampungku sering sahaja terputus bekalan elektrik. Maka, aku sering membaca dalam suasana yang diterangi oleh lampu gasolin sahaja. Bayangkan sebuah rumah hanya menggunakan cahaya lampu gasolin.


Zaman sudah berubah. Tidak ada lagi penderitaan seumpama itu dizaman ini. Dan, disebabkan oleh yang demikian, maka manusia pada hari ini lupa tentang asal usul mereka. Walau ramai yang masuk dan keluar dari pusat pengajian tinggi, tetapi sifat kemanusiaan seperti sudah hilang.

Sunday, July 5, 2009

Sujud dalam Gereja.



Kalau ada yang hairan, bagaimana aku masih boleh tersenyum dan ketawa ? Sedangkan kehidupan aku begitu teruk sekarang ini. Siang malam aku diuji.


Kalau aku bercerita. Yang pasti ramai yang akan menggelengkan kepala. Setakat menggelengkan kepala SAHAJA.


Ramai yang berkata KASIHAN. Kasihan SAHAJA.


Jadi, bagi aku, jalan terbaik ialah terus sujud. Senyum. Ketawa. Seolah - aku aku tidak ada masalah langsung. Sebab, kalau aku ceritakan masalah aku pun, yang pasti semua orang Islam hanya berkata "KASIHAN" .... SAHAJA.


Hingga kini, tiada seorangpun orang Islam yang bertanya "Anak isteri kamu makankah ?"


Yang bertanya soalan itu hanyalah seorang sahaja. Paderi Joseph Chong. Yang bertugas disebuah gereja di daerah Petaling. Beliau begitu prihatin dan mengambil berat akan hal ehwal aku sekeluarga.


Aku amat berharap bantuan dari Allah. Dan aku tidak berharap langsung dari manusia, khususnya UMAT ISLAM.

Thursday, July 2, 2009

Sakit Jatuh Sakit


Semua orang pernah jatuh. Tidak ada seorangpun yang terkecuali. Dari kita kecil hinggalah mati, kita akan jatuh dalam pelbagai cara dan dalam pelbagai bentuk.


Ada yang terasa sakit dan ada yang terasa manis dan indah. Bukankah jatuh cinta itu suatu yang indah ?


Cuma, setiap manusia itu berbeza dari sudut, berapa kali dalam seumur hidupnya dia jatuh. Dan adakah dia bangkit semula dari kejatuhannya ?


Sudah ramai manusia yang berjaya pada hari ini telah mengalami saat - saat kejatuhan suatu ketika dahulu. Dan mereka kuat semangat serta cekal untuk bangkit dan berusaha semula tanpa rasa letih, penat dan cepat mengalah.


Cuma satu perkara sahaja yang dipandang jelik oleh manusia iaitu - MENJATUHKAN.


Samada seseorang itu 'menjatuhkan' atau 'dijatuhkan'. Kedua - duanya menimbulkan perasaan kurang senang kepada individu terbabit.


Bak kata pepatah moden hari ini yang sengaja ditambah - tambah oleh generasi kini:


Sudahlah jatuh ... ditimpa tangga ... terjatuh atas taik ayam. ...


Berwaspadalah sentiasa.

Tuesday, June 30, 2009

Menyesal di dunia.


"Kita tetap menyesal, sesesal sesal sesal sesalnya." Itulah kata yang diulang - ulang oleh seorang ustaz.


Kita bersolat yang wajib. Di akhirat kelak kita merasa menyesal, sesesal sesal sesal sesalnya kerana sewaktu hidup didunia, kita hanya bersolat wajib dan tidak bersolat sunat.


Kita bersolat sunat malam. Di akhirat kelak kita merasa menyesal, sesesal sesal sesal sesalnya kerana sewaktu hidup didunia, kita hanya bersolat sunat diwaktu malam sahaja dan tidak bersolat dhuha.


Kita bersedekah RM5 sahaja. Di akhirat kelak kita merasa menyesal, sesesal sesal sesal sesalnya kerana sewaktu hidup didunia, kita takut untuk bersedekah lebih dari itu, bilamana Allah tunjukkan ganjaran andainya kamu bersedekah RM50 maka itulah istana dan segala habuan untuk kamu.


Kita bersolat fardhu dirumah. Di akhirat kelak kita merasa menyesal, sesesal sesal sesal sesalnya kerana sewaktu hidup didunia, kita banyak bersolat dirumah dan kurang bersolat di Masjid. Di akhirat kelak bila Allah tunjukkan ganjaran bagi orang yang bersolat di Masjid, diwaktu itu kita benar - benar merasa menyesal, sesesal sesal sesal sesalnya.


Oleh itu. Lebih baik kita merasa menyesal, sesesal sesal sesal sesalnya sewaktu masih hidup diatas muka bumi milik Allah ini. Lakukan segala kewajipan kita sebagai HAMBA ALLAH sebaik - baiknya.

Thursday, June 25, 2009

Membaca dalam kereta.


Aku sedang membaca sebuah buku dengan asyik sekali. Bila seorang sahabat bertanya satu soalan yang aku sendiri tidak mampu menjawabnya. Maklumlah, aku tidak mempunyai ilmu untuk menjawab persoalan yang dilontarkan itu.


Kenapa sahabat aku bertanya, dan apakah soalan itu ?


Sahabat aku bertanya, kerana dia berasa hairan bagaimana aku boleh membaca sewaktu berada didalam kenderaan yang sedang bergerak. Aku berada dibahagian belakang pemandu.


Aku tidak menjawab, kerana aku sendiri sudah lupa tentang artikel yang aku pernah baca puluhan tahun yang lalu. Bagaimana seseorang itu mempunyai kemampuan untuk membaca sewaktu berada didalam kenderaan yang sedang bergerak.


Ada orang yang mudah pening jika membaca dalam kenderaan. Dan ada orang yang seolah - olah tidak ada apa yang berlaku sewaktu sedang membaca.


Bagi aku jawapan paling mudah ialah - Itulah rezeki masing - masing.

Sunday, June 14, 2009

MASJID - KEDAI BUKU


Seorang ustaz telah memberikan pesanan yang begitu baik. Dimana, beliau berpesan, dimana sahaja kita pergi, kita pastikan kita pergi dua tempat ini. "Jangan tidak tidak."


Pertama ke MASJID. Kedua, ke kedai buku.


Ke masjid untuk 'serah diri' kepada Allah. Ke kedai buku untuk mendapatkan ilmu bagaimana untuk 'serah diri' kepada Allah.


Dan insyaAllah, kedua - dua tempat tersebut kita 'usahakan' untk 'keluarkan duit.' Banyak pahala dan keberkatannya. Jangan pula kita kedai buku untuk membeli buku cerita lucah.


Bak kata pesanan dari ustaz ini. Tidak perlu untuk baca buku cerita lucah ataupun menonton filem lucah. "Bila anta berada bersama dengan isteri anta ... bercakaplah yang menaikkan nafsu, buatlah apa sahaja hingga hilang kawalan ... layanlah nafsu sepuas - puasnya, tapi kalau hendakkan pahala... waktu tut tut tut tu ... berzikirlah ... ingatlah Allah ... sedap pun dapat ... pahala pun dapat." Aku dan jemaah tidak dapat menahan ketawa.


Maaf, seakan - akan lari tajuk. Sebenarnya, aku sendiri terlalu kurang ilmu. Sepatutnya, sewaktu melangkah keluar dari rumah, kita hendaklah terus berniat untuk mencari masjid atau kedai buku. Niat bermusafir, niat jamak, niat qasar. Mohon supaya Allah permudahkan urusan perjalanan kita.


Aku terlihat, dan aku sendiri masih JAHIL ! Bagaimana makmum yang terlewat tidak tahu bagaimana untuk 'masuk saf solat.' Ada yang masih berdiri tegak, menunggu imam bangun terlebih dahulu.


YA ALLAH, bimbinglah aku, aku terlalu JAHIL !!!

Saturday, May 30, 2009

BUKU menggantikan Pinggan


ZON ILMU.


Aku masih ingat lagi. Dahulu, terutama sekali kalau kita berkunjung kerumah - rumah dikawasan kampong, terdapat almari kaca diruang tamu, dimana didalamnya tersusun rapi pinggan mangkuk yang cantik - cantik belaka untuk dijadikan sebagai tempat untuk hidangan tetamu yang datang berkunjung.


Itu dahulu. Sekarang, zaman sudah berubah. Almari pinggan mangkuk telah diletakkan dibahagian dapur. Satu tempat yang paling sesuai, dan paling 'kena.'


Sekarang, sudah semakin banyak rumah yang berubah konsep. Dimana, almari yang berisi buku diletakkan dikawasan ruang tamu. Atas pelbagai tujuan.


Pada dasarnya, aku bersetuju dengan cara, corak dan konsep sebegini.


Sesungguhnya, budaya ilmu itu wajar diterapkan didalam masyarakat kita. Sejujurnya, aku paling benci, meluat, geram dan begitu menentang kepada budaya suka berhibur secara melampau atau hedonisme. Bagi aku, ianya langsung tidak membawa apa - apa faedah untuk pembentukan sebuah masyarakat yang bertamaddun, apatah lagi ianya jauh dari konsep masyarakat Madani.


Berbalik kepada konsep meletakkan almari bacaan di kawasan ruang tamu. Antara kebaikan yang aku lihat ialah. Seandainya, tetamu berada didalam rumah, dan tuan rumah belum berkesempatan untuk duduk berbual bersama tetamu, maka inilah masa yang terluang, dimana tetamu boleh mengambil buku yang tersedia, samada sekadar untuk dibelek - belek, ataupun untuk 'menjamu mata,' melihat rangkaian buku - buku yang tersusun indah.


Bila disebut 'buku.' Maka kita akan mengaitkan ianya dengan ILMU. Tidak hairanlah, seandainya secara tidak langsung, sebuah rumah yang 'dilimpahi' dengan buku, akan menyebabkan persepsi masyarakat akan berubah.


Fikir - fikirkanlah ...

Wednesday, May 20, 2009

BUDAYA ILMU

Baru - baru ini aku sempat menziarahi rumah seorang sahabat yang uzur. Katanya, cuma demam biasa sahaja. Tetapi disebabkan sudah lama tidak bertemu, aku agak sudah hampir 3 tahun tidak bertemu. Namun, disebabkan oleh pelbagai perkara, maka kami tidak dapat bertemu.


Dan Alhamdulillah, kebetulan aku sedang melalui kawasan Puchong, yang mana rumah sahabat ku itu memang dalam yang sama, maka, aku mengambil kesempatan untuk singgah bertanya khabar.


Sewaktu aku melangkah masuk kedalam rumahnya. Pandangan mataku memang terarah ke satu sudut, iaitu sudut bacaan yang diletakkan dalam ruang tamu. Memang sudah diketahui sejak dari dahulu lagi, sahabatku ini memang dari jenis suka membaca. Walaupun beliau tidak berkelulusan tinggi, apatah lagi memasuki mana - mana pusat pengajian tinggi, namun, seandainya berbicara, beliau kelihatan begitu arif untuk berdiskusi dalam pelbagai tajuk.


Namun, sayangnya, sahabatku ini, belum dianugerahkan dengan cahaya mata. Seingat aku, beliau sudah hampir 20 tahun melangsungkan perkahwinan. Namun, beliau dan isterinya tetap redha dengan ketentuanNYA.


Jadi, kebanyakan waktu lapangnya dihabiskan dengan pelbagai aktiviti luar. Dan jika beliau berada dirumah, maka beliau suami isteri begitu rajin menelaah pelbagai buku mahupun kitab - kitab agama.


Namun, beliau tidak kesunyian, kerana rumah adik perempuannya hanya disebelah rumahnya sahaja. Dan Alhamdulillah, adik perempuannya sudah mempunyai 6 orang anak. Dan anak - anak saudaranya itulah 'buah hati pengarang jantung.' Kerap datang kerumah dan membaca pelbagai buku yang ada.


Kelihatan jelas, sikap sahabatku ini yang menjadikan budaya ilmu begitu terserlah didalam rumahnya.


Aku agak cemburu bila mendapati pelbagai buku tersusun rapi diruang tamu. Namun, sayangnya, aku pula terlupa membawa kamera bersama.


Rasa tenang bila melihat persekitaran ruang yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku. Mungkinkah budaya seperti ini dijadikan contoh untuk diikuti bersama oleh masyarakat kita ?


Pulang sahaja dari rumah sahabatku ini. Aku bertekad untuk menjadikan budaya ilmu berkembang didalam rumahku. Maka, sebagai permulaan, satu langkah kecil, maka aku letakkan beberapa buah buku didalam kawasan ruang tamu rumahku.

Friday, May 15, 2009

Pahlawan Islam yang dilupakan.


Semenjak PTS menerbitkan novel pahlawan Islam. Aku merasa lega. Bukan apa. Selama ini, kalau aku dapat mencari buku tentang perjuangan pahlawan Islam sekalipun. Buku - buku itu ditulis dalam bahasa akademik.


Dan kalau ada novel, hanya sedikit yang memaparkan kisah pejuang Islam. Jadi, disitu ada 'pembahagi' kepada pembaca. Samada hendak membeli novel atau membeli kisah sejarah yang kebanyakannya agak membosankan.


Kelihatan PTS begitu konsisten dalam menerbitkan bahan bacaan yang bermutu tinggi. Juga sekalung penghargaan kepada Tuan Abdul Latip Talib yang tidak jemu - jemu menghasilkan karya bermutu. Khususnya menggarap kisah pejuang - pejuang Islam.


Yang paling menyenangkan hati, bilamana setiap tetamu yang berkunjung kerumahku akan menatap novel siri pejuang Islam. Kebanyakan yang membelek novel itu seperti tidak percaya, zaman sudah berubah. Kisah sejarah kini telah mendapat tempat di hati peminat, bilamana terdapat usaha untuk menjadikan bahan sejarah sebagai suatu yang seronok untuk dibaca dan dijadikan sebagai pengajaran kepada orang Islam.


Andainya dahulu. Anak - anak ku sendiri agak kurang lancar menyebut nama - nama Khalifah Islam. Tetapi kini, mereka sudah mengenali hampir kebanyakan nama pahlawan dalam Islam.


Namun agak malang. Bilamana sewaktu aku masuk ke dalam perpustakaan di sekolah anak - anakku. Tidak terdapat langsung bahan bacaan seperti ini. Yang ada hanyalah siri cerita dari barat yang lebih mengagungkan budaya barat.


Aku tidak tahu bagaimana untuk mengusulkan perkara ini kepada pihak terbabit. Supaya kisah sejarah Islam, khususnya bahan bacaan ataupun novel yang bermutu seperti ini boleh 'menerjah' masuk kedalam perpustakaan sekolah.

Thursday, April 30, 2009

PTS & Memandaikan Bangsa.

Hari - hari terakhir sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur - PBAKL, tempohari. Aku membawa anak - anakku bersama. Mereka benar - benar teruja. Maklumlah, tahun lepas aku tidak membawa mereka bersama.


Alhamdulillah, tahun ini, ada penaja yang sudi membiayai segala kos. Maka, kami berlima, aku, 3 orang anak - anak ku dan seorang sahabat yang amat memahami kesusahan diri aku sekeluarga selama ini.


Kami berlima pergi dengan kereta kancil. Tiba sahaja dihadapan PWTC, aku mengambil masa hampir 20 minit untuk mencari parkir. Ini satu perkara yang lumrah dan tidak dapat dielakkan setiap kali berlangsungnya apa - apa program besar di PWTC, khususnya Pesta Buku.


Aku memarkir kenderaan agak jauh dari bangunan PWTC. Dan kami berlima berjalan dengan riang ria, seperti hendak pergi berhari raya lagaknya. Masuk sahaja ke dalam bangunan PWTC, aku telah berpesan kepada semua. Andainya kita terpisah, maka hendaklah semua sekali menunggu atau datang ke bahagian hadapan pentas berdekatan tangga bergerak.


Selepas itu, aku terus membawa anak - anak aku ketingkat 3. Berpusing - pusing, membelek - belek dan menerima segala macam risalah yang diberikan secara percuma oleh penerbit yang menyertai pesta itu.


Sejurus kemudian, kami turun ke tingkat kedua. Melakukan perkara yang sama. Namun kali ini, aku berhenti agak lama di beberapa booth. Disebabkan tujuan utama aku membawa anak - anak aku ke PBAKL ialah untuk mencari buku pelajaran dan latihan dan untuk membeli buku terbitan PTS. Kerana bagiku, buku - buku terbitan PTS telah terbukti sangat membantu anak - anak aku dalam proses pembelajaran mereka.


Anak - anak aku tergolong dalam golongan pelajar yang sederhana. Namun, apabila mereka mendampingi buku - buku cerita terbitan PTS, jelas kelihatan mutu bahasa dan pemahaman mereka tentang sesuatu itu telah meningkat. Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi diri aku dan isteri, melainkan melihat perkembangan anak - anak yang membanggakan.


Ditingkat kedua juga, aku sempat singgah dibooth Karangkraf dan beramah mesra dengan salah seorang kakitangan ALAF 21 iaitu Kak Sa'adiah. Namun, kami tidak sempat untuk berbual panjang, maklumlah masih banyak lagi tempat yang perlu kami lawati.


Setakat tingkat dua, aku masih belum berpuas hati. Kerana belum berjumpa dengan booth yang menjual buku pelajaran yang aku hajati. Kalau adapun diskaun yang diberikan tidak menarik hati. Aku terfikir, kenapa penerbit buku pelajaran tidak mahu memberikan tawaran harga yang paling menarik untuk buku - buku pelajaran terbitan mereka. Kerana bagi aku, buku pelajaran atau buku latihan sekolah adalah buku yang mesti dibeli. Tidak ceperti buku - buku cerita.


Ada penerbit yang hanya menawarkan diskaun 10%. Bagi aku lebih berbaloi andainya aku pergi ke kedai buku berdekatan rumah aku. Tidak perlu membayar duit minyak, duit TOL dan duit parkir.


Ditingkat bawah, aku terus masuk ke Dewan Tun Hussein On. Kali ini suasana jauh lebih meriah dan yang pasti, sesak. Kami terpaksa bergerak perlahan - lahan. Dan dipenghujungnya, akhirnya aku temui juga booth yang menawarkan diskaun paling menarik, dan yang penting, anak - anak aku menjadi rambang mata melihat begitu banyak buku - buku nota latihan yang ada.


Lebih satu jam kami disitu. Bukan mudah sebenarnya untuk aku membeli buku latihan persekolahan anak - anak aku, malumlah, penaja aku memberikan wang poket sebanyak RM100. Jadi, selain dari menilai buku yang perlu dibeli. Aku juga perlu melihat harga buku.


Setelah berpuas hati. Aku lantas menyuruh anak aku yang pertama untuk pergi beratur dan membayar harga buku. Sambil itu, aku terus ke booth PTS yang terletak bersebelahan kawasan.


Sewaktu masuk sahaja kedalam kawasan PTS. Pandangan aku terus tertancap kearah insan yang aku begitu hormati dan sanjungi. Bagi aku, beliaulah pejuang bangsa yang sebenar, dan beliau juga adalah pejuang bahasa yang berani. Seorang wanita yang cekal mengharungi badai dan gelora dalam meninggikan martabat bahasa ibunda. Misinya ialah - MEMANDAIKAN BANGSA !


Insan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Puan Ainon.


Aku tidak mahu melepaskan peluang. Lantas aku terus menyapa Puan Ainon yang sedang duduk keletihan namun masih mampu tersenyum. Usai memberi salam, dan bertanya khabar, terus sahaja Puan Ainon bertanya "Tuan ini penulis?" spontan aku menjawab "Tidak, Saya hanya menulis didalam blog," lalu Puan Ainon berkata dengan penuh semangat "Kenapa Tuan tidak menulis buku?" Aku menjawab dengan tersenyum "Sebenarnya saya ada masalah bila menulis..." Belum sempat aku menghabiskan hujah, lantas dipintas oleh Puan Ainon "Tidak, tidak .... saya tidak mahu mendengar masalah .... Tuan mesti boleh menulis!"


Begitulah Puan Ainon. Seorang yang tegas. Dan selayaknya beliau digelar Puan Sifu.


Di booth PTS. Aku dan anak - anak aku sekali lagi rambang mata apabila melihat buku - buku yang dipamerkan. Kalau diikutkan hati ini. Mahu sahaja aku 'sambar atau cekau' semua buku yang ada. Tetapi, aku telah memberikan 'tanda amaran awal' kepada anak - anak aku. "Ingat, Abah ada baki RM40 sahaja dalam poket." Dan Alhamdulillah, anak - anak aku telah lama memahami kesusahan keluarga.


Setelah puas membelek - belek, merenung - renung dan memerhatikan segala buku yang ada, akhirnya anak - anak aku bersetuju untuk berkompromi diantara mereka. Cuma 3 buah buku yang mampu untuk dibeli, iaitu - Penyiasat 3P - Hantu Lagenda, NAGA - Serangan Kulat dan Sherlock Holmes 2 - Detektif yang penuh kejutan.


Jam telah menunjukkan pukul 6 petang, bila anak sulng aku tiba - tiba berkata "Abah, kita belum bersolat Asar lagi...!"


Lantas kami terus sahaja beredar dari booth PTS. Dan terus ke surau berhampiran. Usai solat dan mengucapkan Syukur kehadrat Illahi, kerana memudahkan urusan kami pada hari itu. Aku juga merasa bersyukur kerana dengan limpah izinNYA. Kami telah dapat bertemu dengan insan yang kami sekeluarga amat hormati dan sayangi, iaitu Puan Ainon. Semoga Allah memberikan rahmat, keredhaan dan kesihatan yang baik buat Puan Ainon dan keluarga serta kakitangan PTS. AMIN.


Usai bersolat, kami terus pulang dengan perasaan penuh kepuasan. Alhamdulillah.

Thursday, April 23, 2009

KISAH SEJARAH PAHLAWAN MELAYU


Aku terfikir, andainya satu hari nanti jika PTS mengadakan novel - Si Bongkok Tanjung Puteri, berkulit tebal. Maka, InsyaAllah, aku tidak akan teragak - agak untuk membelinya. Ini bagi memastikan buku itu kekal dan tahan lama, dan yang pentingnya boleh dijadikan koleksi yang boleh dibanggakan.


Manakan tidak, novel ini bolehlah dikategorikan sebagai agak tebal, apatah lagi dibaca oleh seorang kanak - kanak berusia 8 tahun. Aku sendiri tidak pasti berapa lamakah masa yang diambil oleh anak aku itu untuk menghabiskan pembacaannya. Tetapi yang pasti, usai sahaja pembacaannya itu, kelihatan riak - riak kepuasan diwajahnya.


Novel ini dibaca oleh 5 orang. Aku sendiri, isteri aku, dan 4 orang anak lelaki yang lasak. Jadi boleh dibayangkan andainya tahap kesabaran anak - anak aku luntur. Pastinya mereka akan berebut antara satu sama lain.


"Alah... engkau baca lambat!" "Boleh sabar tak?" "Nak suruh abah beli lain lah!" "Abah, ada kawan kata nak pinjam... boleh tak?"


Itulah diantara dialog yang agak tegang, bilamana sebuah novel yang menarik menjadi 'mangsa perebutan hak' oleh anak - anak aku.


Nasib baik tidak berlaku adegan 'tarik - menarik' novel. Kalau tidak, sudah tentu novel itu akan terkoyak dan hancur.


Bila aku melihat kesungguhan anak - anak aku membaca kisah sejarah dalam novel - Si Bongkok Tanjung Puteri itu. Aku lantas terfikir ... siapa kata kisah atau pelajaran sejarah tidak ada daya penarik ?


Ya, sejujurnya, aku memang tidak berminat untuk membaca buku sejarah. Terasa agak memeningkan. Terutamanya dalam perkara fakta dan tarikh. Tetapi apabila membaca novel - Si Bongkok Tanjung Puteri ini. Persepsi aku terus berubah sama sekali. Ada daya 'penarik' dalam kisah sejarah yang 'dinovelkan' ini.


Aku tidak mahu mengulas tentang novel ini. Cukuplah aku menyatakan bahawa, sebagai orang Melayu. Aku berasa bangga dengan kisah Si Bongkok Tanjung Puteri ini. Kerana ia menceritakan tentang kisah perjuangan orang Melayu, kaum pribumi yang memperjuangkan hak dan maruah mereka diatas muka bumi tanah tumpah darah mereka sendiri.


Dan yang paling menarik sekali. Kisah ini ditulis mengikut 'kaca mata' anak pribumi ini sendiri. Tidak seperti buku - buku sejarah yang dikarang oleh pengarang antarabangsa, yang menulis mengikut pandangan mereka. Yang sering mempertikai dan merendah - rendahkan perjuangan anak bangsa dan anak watan negara tercinta ini.


Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini. Aku mengesyorkan supaya pengunjung blog ini untuk mendapatkan novel ini, dan mana - mana hasil karya oleh novelis - Abdul Latip Talib di gerai atau booth - PTS.


Yang pasti - ANDA tidak akan rugi memilikinya !

Wednesday, April 22, 2009

NOVEL PEJUANG ISLAM

Mengenali, Mencintai dan Menghayati perjuangan pahlawan Islam.


Ada dikalangan umat Islam yang tidak mengenali tokoh - tokoh pejuang Islam. Malah, ada yang tidak mengenali Khalifah yang memerintah dan menerajui umat Islam setelah kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.



Dengan adanya novel seperti dibawah. InsyaAllah, umat Islam, terutamanya yang berminat mendalami tentang sejarah pejuang - pejuang Islam, boleh sahaja mendapatkan novel - novel dibawah di booth atau gerai PTS.




Novel ini memang menarik. Tidak seperti bahan ilmiah yang mana kita terpaksa memerah otak untuk memahami dan menghafal fakta. Novel - novel dibawah begitu enak untuk dibaca sambil bersantai.



Kerana ia menggunakan konsep novel, maka terdapat dialog yang pasti tidak akan membosankan para pembaca, termasuk kanak - kanak. Namun, setiap babak yang dipaparkan adalah bersumberkan kepada fakta sejarah yang benar.




Kisah Saidina Ali bin Abu Talib menceritakan kisah hidupnya sejak dari kecil sehingga meninggal dunia. Pada zaman kanak-kanak tinggal di rumah Rasulullah SAW, kemudian menjalani kehidupan sebagai suami isteri bersama Fatimah, perihal kegagahannya di medan perang dan ketokohannya sebagai ilmuan Islam sehingga menjadi khalifah.








Khalifah Islam kedua. Umar Al- Khattab.















Abu Bakar as-Siddiq, sahabat sejati Nabi Muhammad saw yang dilantik menjadi khalifah Islam pertama selepas beliau wafat pada tahun 632 H. Jasa khalifah Abu Bakar as-Siddiq yang paling besar adalah mengumpulkan semula ayat-ayat al-Quran apabila ramai penghafal terbunuh dalam peperangan menentang mereka yang murtad dan nabi-nabi palsu. Novel ini menceritakan kisah suka duka Khalifah Ar Rasyidin yang pertama itu dari sejak lahir hingga meninggal dunia.












Jangan lepaskan peluang sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Untuk mendapatkan novel - novel sejarah itu. Buku - buku tersebut boleh diperolehi dengan harga diskaun di booth PTS.




Sila dapatkan novel - novel disebelah di gerai PTS.


Tuesday, April 7, 2009

SOLAT (1)

Gerakan ZIONIS pernah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:


"Jika kita pergi ke masjid orang Islam pada waktu Subuh dan kita melihat bahawa tiang masjid lebih banyak daripada bilangan ahli jemaahnya maka kita jangan risau atau bimbang, kerana itu menandakan umat Islam sangat lemah. Tetapi suatu ketika bila kita pergi ke masjid pada waktu Subuh dan kita lihat orang Islam memenuhi masjid, maka di saat itu kita perlu berwaspada kerana itu menandakan kebangkitan Islam. Orang Islam sudah mempunyai kekuatan dalaman yang mampu untuk menghancur dan menewaskan kita".


Aku berseru kepada kaum MUSLIMIN. Selagi mana surau dan masjid tidak dipenuhi. Selagi itulah kita tidak akan dapat melawan musuh kita.


Khususnya kepada kaum LELAKI. Tunaikan kewajipan SOLAT di surau atau masjid. Walau sesibuk mana sekalipun. Mengikut kajian pakar hadith dan sunnah. Rasulullah TIDAK PERNAH bersolat fardhu dirumah. Samada keseorangan mahupun berjemaah bersama ahli keluarga.

Tuesday, March 31, 2009

ISTIGHFAR


Perbanyakkan beristighfar. Itulah pesanan yang kerap diterima dari para ulamak. Jangan meremehkan istighfar. Istighfar mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun perkataan itu kelihatan seperti pengakuan taubat, namun implikasinya terlalu jauh dari itu.


Istighfar tidak hanya boleh disebut sewaktu selesai bersolat. Ianya boleh disebut dimana sahaja, pada bila - bila masa.


Malahan, ulamak sufi ataupun ulamak tasawwuf menyatakan bahawa dengan beristighfar. Jiwa kita akan lebih dekat dengan Allah. Kita akan sentiasa terpelihara dari segala perbuatan keji dan mungkar. Bila lidah kita sentiasa menyebut istighfar dengan berulang kali, maka hati kita akan sentiasa 'dihalakan' untuk mengabdikan diri dan menyucikan jiwa kearah 'perhambaan'.


Singkatannya adalah seperti berikut dan membawa maksud seperti dibawah:
astaghfirullah, yang bermakna "Aku memohon keampunan Allah".


Dalam bahasa Inggeris, ianya membawa maksud:
astaghfirullah, meaning "I seek forgiveness from Allah".


Istighfar yang lebih lengkap adalah - ASTAGHFIRULLAH HAL'AZIM, ALLAZI LA ILA HAILLAH HUAL HAYYUL QAYYUM, WA'ATU BU ILAIH.


Membawa maksud:

"Aku memohon ampun kepada Allah yang tidak ada tuhan selain DIA, yang hidup dan selalu jaga, dan aku bertaubat padaMU".


Selain mata. Bahagian atau anggota manusia yang paling mudah dan senang untuk melakukan dosa dan maksiat ialah LIDAH.



Mencerca, memaki hamun, mengumpat, mengutuk, memfitnah, menjatuhkan maruah, bercakap kotor, dan sebagainya adalah perbuatan maksiat dan mungkar yang berhubung secara langsung antara hati dengan lidah.


Seperkara yang perlu diingat. Andainya kita berdosa secara langsung dengan Allah. Maka hendaklah kita beristighfar dan bertaubat dengan sesungguh - sungguhnya, menyesal dengan perbuatan keji yang kita lakukan. Dan seterusnya ialah perbanyakkan amalan sunat bagi menampung segala kekurangan yang ada.


Namun, andainya kita melakukan kesalahan terhadap sesama manusia, sepertimana perbuatan mengumpat dan segala macam dosa yang dilakukan melalui lidah. Maka, tidak cukup dengan sekadar bertaubat dan beristihgfar memohon keampunan dari Allah, malah adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan, iaitu memohon maaf dari manusia itu sendiri. Bukan satu jenaka, tapi permohonan maaf kepada manusia yang telah kita umpat dan sebagainya itu wajar dilakukan seberapa segera yang mungkin. Kerana ajal maut tidak kita ketahui, bilakah kehdirannya.


Begitu sukar untuk memohon maaf dari sesama manusia. Kerana, Allah adalah tuhan yang MAHA PENGAMPUN. Hinggakan ada dikalangan ulamak yang secara sinis memberikan ungkapan seperti dibawah:


"Bukan hendak menyatakan bahawa tidak mengapa jika berdosa dengan tuhan, kerana Allah Maha Pengampun. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah, andainya kita berdosa dengan manusia, hendaklah diketahui bahawa manusia memang sukar untuk memaafkan kesalahan sesama manusia".


Maka, diandaikan dosa kita tidak dimaafkan oleh sesama manusia. Bolehkah dibayangkan bagaimana kedudukan dan nasib kita di akhirat kelak ?


Cuba bayangkan, disaat kita berada dihadapan pengadilan Allah kelak. Dimana amal dan kejahatan kita begitu seimbang. Tiba - tiba, seorang HAMBA ALLAH yang pernah kita sakiti dengan lidah kita sewaktu didunia, tiba - tiba memohon PENGADILAN dari yang Maha Adil dalam pembalasannya. Adakah perjalanan kita akan mudah untuk terus melalui titian sirath ?


Fikir - fikirkanlah, renung - renungkanlah. Siapakah saudara kita yang pernah kita UMPAT KEJI FITNAH ADU DOMBA MENGATA MENCACI NISTA dan sebagainya. Sebelum menutup mata dan menghembuskan nafas terakhir.

Friday, March 27, 2009

PARTI URUSKAN JENAZAH

Aku memang jelik. Terlampau fikirkan tentang PARTI POLITIK. Sikit - sikit cerita tentang parti. Parti itu baik macam malaikat, parti lain adalah parti pengganas. Parti itulah yang paling hebat dan membangun.


Parti mesti diutamakan. Parti mesti didahulukan. Parti mesti dikuatkan. Jangan bertindak membelakangkan parti. Hidup dan mati biarlah dalam parti kita.


Aku tidak marah kalau sesiapa sahaja hendak ikut parti atau hendak jadi ahli parti atau penyokong mana - mana parti.


Aku rasa ramai juga pengunjung blog ini yang mempunyai jiran yang fanatik pada parti tertentu. Tetapi apa yang kau hendak perkatakan ialah. Kita kena ingat satu perkara yang paling utama, paling penting.


Taat pada suruhan dan titah perintah Allah. Taat pada junjungan besar Nabi Muhammad.


Aku mempunyai jiran yang aktif dan fanatik pada parti politik. Terlalu berbangga dengan penglibatan dalam kegiatan partinya membangunkan negara. Hingga tidak memperdulikan tentang urusan agama. Bila bercakap, yang lebih banyak ialah memuji pemimpin partinya.


Aku tidak mahu berdebat atau berhujjah. Yang penting aku hendak mengekalkan hubungan silaturrahim. Aku bukannya seorang manusia yang mulia. Aku adalah HAMBA ALLAH yang dhaif.


Aku jelik dengan jiran aku. Lebih mementingkan mesyuarat parti dan urusan parti dari mendekatkan diri dengan masjid dan surau. Setiap kali ada program di surau atau masjid, aku pasti akan memaklumkan kepada jiran aku. Atau kalau dia tidak ada dirumah, aku akan tinggalkan pesan kepada isteri atau anak - anaknya. Namun semua ajakan aku tidak pernah dituruti.


Rumahnya sering dikunjungi oleh pimpinan partinya. Beliau berbangga menceritakan tentang kehadiran pembesar yang datang berkunjung ke rumahnya.


Hendak dijadikan cerita. Sewaktu beliau meninggal dunia baru - baru ini. Terjadi peristiwa yang begitu menyayat hati. Dimana, hanya jiran aku yang membacakan surah Yasin disisi mayat. Pukul 10 pagi barulah Imam tiba untuk menguruskan mayat. Bila IMAM bertanyakan tentang urusan mayat. Semua anak - anaknya tidak tahu langsung tentang pelbagai urusan. Samada menyediakan kain putih, kapur barus dan pelbagai lagi kelengkapan. Dan diwaktu itulah baru anak - anaknya bergegas untuk mencarinya.


Hari menjelang tengahari. Yang aku lihat diluar rumah, hanyalah ahli kariah masjid yang sedang menunggu untuk upacara solat jenazah. Tidak kelihatan langsung kelibat tokoh - tokoh pembesar yang dibanggakan dan diagungkan oleh jiran aku itu.




Usai urusan jenazah, maka mayat disembahyangkan oleh kira - kira 20 orang ahli kariah masjid. Dan selepas itu, keranda diusung keluar dari rumah. Dan dimasukkan kedalam van. Terus ketanah perkuburan. Disitu hanyalah ahli kariah masjid, kenalan dan saudara mara arwah sahaja yang berada disisi liang lahad.


Moral dari kisah yang aku ingin sampaikan ialah. Jangan terlalu fanatik dan mengutamakan PARTI dalam segala hal.


Kita kena ingat. SIAPAKAH yang akan menguruskan mayat kita. SIAPAKAH yang akan menyembahyangkan jasad kita. SIAPAKAH yang akan mengusung keranda kita. SIAPAKAH yang akan memsasukkan tubuh kita kedalam liang lahad.


Yang terpenting ialah - Jangan DERHAKA kepada Perintah ALLAH.

Khusnya kepada kaum LELAKI. Dekatkan diri anda ke surau dan masjid.

Monday, March 23, 2009

SEDEKAH JARIAH

Sudah beberapa minggu ini. Alhamdulillah, hati aku tidak sakit, kerana aku sudah tidak lagi menonton Berita Perdana - RTM dan juga Buletin Utama TV3. Kerana, diwaktu itu, aku lebih senang berada di surau ataupun masjid.


Hasil 'sok-sek - sok-sek' dengan para jemaah. Aku yakin, ramai yang meluat, menyampah, bengang benci dengan berita yang dipaparkan.


Tidak ada cerita lain. BUNUH. ROGOL. SEKS. Dan cerita tentang POLITIK WANG. Kisah keadaan kucar - kacir pentadbiran kerajaan PAKATAN RAKYAT.


Hakikatnya, cuba lihat keadaan kehidupan masyarakat. Semuanya resah gelisah dengan ketidak tentuan ekonomi.


Sejujurnya. Aku TIDAK PEDULI siapa yang akan menang jawatan KETUA PEMUDA UMNO. Samada mukhriz atau khairy atau siapapun yang menang. Kehidupan RAKYAT sama macam itu juga. Harga barang tetap begitu juga. Resah gelisah rakyat tetap begitu juga.


Bila berada didalam surau atau masjid. Hati menjadi tenteram. Perasaan menjadi tenang. Fikiran menjadi lapang. Gelodak jiwa boleh sahaja dibersihkan dengan zikir mengagungkan kebesaran Allah. RAJA segala RAJA.


Kuliah, ceramah mahupun tazkirah yang disampaikan oleh para Ustaz. Selain dari mengingatkan tentang tugas dan tanggungjawab sebagai HAMBA ALLAH, dan sebgai khalifah diatas muka bumi ini. Juga memberikan ingatan supaya ingat tentang HARI PENENTUAN.


Dalam beberapa siri kuliah yang aku hadiri. Aku benar - benar terkesan dengan penyampaian dan isi yang cuba disampaikan oleh beberapa orang pendakwah. Dimana mereka memperkatakan tentang kewajipan bersedekah.


Aku sangkakan, dengan keadaan aku yang dhaif ini, aku boleh sahaja 'terlepas' dari tanggungjawab itu. Rupa - rupanya, mengikut tafsiran dan falsafah sedekah, aku adalah diantara golongan yang hampir 'mesti' bersedekah.


Mulanya memang aku bingung. Tetapi apabila selesai ceramah. Ya, aku semakin jelas. Bahawa tidak ada golongan yang terlepas dari tuntutan bersedekah.


Bukan hendak berbangga. Tetapi aku hanya mampu untuk menghulurkan sedikit wang syiling kedalam tabung masjid.


Usai menikmati juadah secara berjamaah. Tiba - tiba sahaja seorang pegawai masjid datang menghampiri aku dan berbisik.


"Ada dua bungkusan kuih yang tidak habis ... Ana letakkan dalam bakul motor enta" Sambil menepuk bahu aku dan berlalu dari situ.


SUBHANALLAH !!! Balasan dari Allah begitu cepat.

Friday, March 20, 2009

PANDANGLAH ALLAH

TAKUT & GERUN.


"Fear Factor"


Sifat semulajadi setiap manusia, memang ada perasaan takut. Tetapi perasaan itu akan menghilang apabila kita melakukan apa yang kita bimbang dan takut itu dengan kerap.


Kita takut apabila berada didalam kawasan yang gelap. Tetapi bila keadaan sudah terang, dan kita sudah mengetahui keadaan sekeliling. Secara beransur -ansur perasaan takut akan hilang.


Jadi yang penting adalah, kita mesti belajar dan cuba untuk mendapat sebanyak mungkin maklumat. Supaya kita mengetahui apakah gambaran sebenar.


Memang menakutkan bagi diri aku yang baru hendak menceburi bidang bisnes. Tetapi perasaan itu semakin lama semakin menyusut. Setelah mendapat gambaran dari semasa ke semasa. Dan seterusnya mendapat dorongan dan galakan dari banyak pihak. Yang penting ialah buang perasaan takut dan malu.


Cuma satu sahaja perasaan takut yang tidak boleh dikawal. Malah tidak boleh dibuang. Iaitu apabila kita berada di alam kubur. Segala macam perasaan akan timbul. Takut, cemas, gerun, bimbang dan pelbagai lagi. Dan diwaktu itu tiada siapa yang akan memberikan kata semangat, tiada siapa yang akan menghulurkan bantuan dan sokongan.


Diwaktu itu. Hanyalah amalan soleh sahaja yang akan menjadi bekalan buat kita berhadapan dengan perasaan itu.


Hanya AL QURAN yang kita BACA sahaja yang akan MENERANGI tempat kita.
Hanya SEDEKAH JARIAH sahaja yang akan memujuk hati kita supaya tidak takut.
Hanya DOA dari anak yang soleh sahaja yang akan mengurangkan seksaan keatas kita.


Diwaktu itu barulah kita TERSEDAR.


Ya Allah, berapa SAAT dalam satu hari aku SUJUD kepadamu ?
Ya RASULULLAH, berapa WAKTU dalam satu hari aku mengikut SUNNAHmu ?
Ya AL QURAN, berapa lama dalam satu hari aku mengamalkan ayat - ayatmu ?


Diwaktu itu. Permintaan kita hanya satu. "Ya Allah, aku memohon kepadaMU, berilah aku SATU HARI SAHAJA ! untuk aku kembali ke dunia dan MENGABDIKAN diriku kepada MU."


Cemas, gerun, takut, bimbang .... tidak berkesudahan. Ribuan tahun menunggu - HARI PEMBALASAN.

Saturday, March 14, 2009

Rezeki dari langit terbuka.

"Ya Allah, permudahkanlah urusan kami."


Sudah beberapa hari aku melakukan perjalanan yang agak jauh. Bukan mudah sebenarnya, melakukan pelbagai perkara dalam satu hari dilokasi yang berlainan dan dalam jarak yang berbeza.


Hinggakan anak aku yang turut sama telah ketawa, sambil berkata "kita solat jamak Zohor dan Asar disurau Jejantas Sungai Buloh, kita solat Maghrib dan Isya' di Masjid KLIA."


Walaupun pada mulanya, kami agak terkial - kial untuk mengerjakan solat jamak dan qasar. Namun, apabila kerap dipraktikkan, Alhamdulillah, ianya menjadi mudah sebagaimana Allah mempermudahkan hambaNYA untuk mengerjakan solat sewaktu dalam keadaan bermusafir.


Apa sahaja yang berlaku sewaktu dalam perjalanan adalah diluar kawalan kita sebagai manusia. Namun sebagai makhluk yang diberikan akal, maka kita boleh berusaha untuk mengelakkan daripada sesuatu musibah.


Allah yang Maha Menentukan segalanya. Alhamdulillah, perjalanan kami begitu lancar.

Friday, March 13, 2009

Tuntutan SYAHADAH

Hidup tanpa SOLAT.


Aku benar - benar terpaku, terpana. Aku langsung tidak berupaya untuk berkata apa - apa. Selain dari beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah.


Kejadian berlaku baru - baru ini. Dimana, seorang sahabat sepermainan dari kecil. Tiba - tiba sahaja membuat pengakuan. Beliau tidak tahu langsung untuk bersolat.


Bukan perkara main - main. Semakin banyak yang aku tanya. Semakin aku merasa takut dan hiba, tiba - tiba sahaja.


Dengan penuh hikmah aku menyuruhnya mengucap dua kalimah syahadah yang maha suci itu. Sahabat aku hanya mampu menyebut "La ila haillallah, Muhammad Rasulullah" dengan tergagap - gagap.


Aku memegang tangannya dengan penuh kasih sayang. Aku tidak mahu bertanya apa - apa lagi. Aku berjanji, akan membimbingnya kembali ke pangkal jalan, InsyaAllah.


Ini bukan kes terpencil. Masih aku ingat lagi, sewaktu menghadiri kursus perkahwinan hampir 20 tahun yang lalu. Dimana, dari seramai 30 orang peserta. Hampir 20 orang tidak tahu dengan tepat bilangan rakaat dalam setiap waktu solat.


Yang semakin jelas, semakin ramai yang takut menderhaka kepada pemimpin daripada takut menderhaka kepada suruhan tuhan.