Saturday, July 11, 2009

Membaca dalam gelap.


Jika kita dalam keadaan bersedih, maka bacalah sesuatu yang boleh menghiburkan. Jika kita dalam keadaan bergembira, maka bacalah sesuatu yang boleh menginsafkan.


Aku tidak pasti dari mana datangnya ayat - ayat itu. Tetapi, ianya sesuatu yang memberikan gambaran bahawa dengan membaca sebenarnya berupaya membentuk jiwa manusia seupaya menjadi kental.


Tiba - tiba sahaja, sewaktu membaca, bekalan elektrik terputus. Waktu itu, masing - masing sedang sibuk membaca. Aku sedang membaca buku. Isteri aku sedang mengajar anak kecil membaca. Ada pula yang sedang membaca Al Quran.


Kami semua riuh sebentar akibat tiada elektrik. Namun, kemudian kami semuanya mendiamkan diri. Aku bergerak perlahan - lahan dalam kegelapan untuk mencari lilin didapur.


Setelah lilin dinyalakan, kami semuanya terus sahaja memberikan tumpuan kepada apa yang telah kami lakukan iaitu menyambung membaca.


Terasa kelainan dan keseronokan pula membaca didalam keadaan diterangi oleh cahaya lilin. Teringat suatu ketika dahulu, dimana sewaktu aku kecil. Kampungku sering sahaja terputus bekalan elektrik. Maka, aku sering membaca dalam suasana yang diterangi oleh lampu gasolin sahaja. Bayangkan sebuah rumah hanya menggunakan cahaya lampu gasolin.


Zaman sudah berubah. Tidak ada lagi penderitaan seumpama itu dizaman ini. Dan, disebabkan oleh yang demikian, maka manusia pada hari ini lupa tentang asal usul mereka. Walau ramai yang masuk dan keluar dari pusat pengajian tinggi, tetapi sifat kemanusiaan seperti sudah hilang.

1 comment:

  1. maksu merasa guna lampu gasolin masa kecik2, tapi utk diletakkan di dalam reban ayam.

    ReplyDelete