Monday, July 27, 2009

Semangat tetap ada.


Bila aku pandang sekeliling, aku dapati kehidupan aku sebenarnya dikelilingi oleh novelis. Khususnya dari ALAF 21. Mereka begitu banyak memberikan perangsang, dorongan, dan semangat untuk aku terus menulis.


Jadi dimana silapnya aku ?


Hingga kini, aku masih belum menyiapkan walau sebuah menuskrip. Hatta, sudah memakan masa hampir 3 tahun. Dan masih tidak ada kelangsungan hatta tidak ada penyudahnya.


Adakah aku perlukan seorang MENTOR yang perlu duduk disebelah aku ? Ah, orang lain juga menulis dan tidaklah 'semengada - ngada' aku.


Ada ketikanya bila idea datang mencurah - curah, aku begitu bersemangat kental dan waja untuk melakukannya. Tetapi bila idea kering, maka aku lebih banyak membaca.


Lalu aku teringat kata - kata novelis Faisal Tehrani. Bagaimana beliau mendapatkan nasihat dari A. Samad Said, lalu Pak Samad berkata.


"Syarat pertama ialah membaca, syarat kedua ialah membaca, syarat ketiga ialah membaca, syarat keempat ialah membaca, dan syarat kelima ialah menulis."


Ini membawa maksud, untuk menjadi seorang penulis ialah mesti banyak membaca. Jadi, adakah aku sudah cukup banyak membaca ?

Monday, July 20, 2009

Jadi, anda mahu menulis ?


Sudah ramai yang mengesyorkan supaya aku menulis. Dan sememangnya aku berminat untuk menulis. Entah mengapa, entah kenapa, entah bagaimana, sehingga kini aku masih tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan untuk menulis. Sejujurnya hati aku tidak tetap. Semenjak musibah dan ujian dari Allah datang dengan tiba - tiba dan terus menerus serta tidak ada penghujungnya. Maka semangat untuk aku menulis terus luntur.


Hinggalah buku ini tiba. Aku masih belum dapat membuat sebarang keputusan muktamad. Jiwa aku masih kacau bilau. Hati aku masih tidak tenteram. Fikiran aku masih tidak tenang.


Sesudah berbulan - bulan lamanya aku berserah diri kepada Allah. Memohon petunjuk dari NYA. Namun aku tidak pasti apakah sudah ada petunjuk dari NYA ?


Satu ketika, tiba - tiba sahaja idea untuk menulis turun mencurah - curah, hingga aku terasa menggigil. Terasa seperti tidak sempat untuk aku mencatatkan semuanya. Segalanya. Aku terus menulis dan terus menulis dan terus menulis. Kisahnya ialah bagaimana aku sedang lapar. Sejujurnya, beras telah habis dan tidak ada barang 10 sen pun didalam poket aku. Aku seperti terasa hendak pergi ke pejabat ADUN. Tetapi aku rasa malu yang teramat sangat, kerana satu ketika, aku pernah memohon sekampit beras, namun petugas dipejabat itu telah bertanyakan pelbagai soalan, hingga aku terasa soalan yang diberikan itu benar - benar menjatuhkan maruah aku.


Alhamdulillah, satu ketika seorang insan yang begitu banyak membantu aku telah menyiarkan sebuah entri tentang sebuah buku yang bertajuk - Jadi, anda mahu menulis ? Hasil karya Prof. Madya Dr Umi Kalthum Ngah.


Aku lantas menyuarakan hasrat hati untuk meminjam dari Prof Madya Nurazzah8. Namun, rupa - rupanya beliau telah bersedia untuk menghadiahkan kepada aku buku tersebut.


Dan, buku itu telahpun berada bersamaku. Dan InsyaAllah, aku aku berikan pendapat aku yang teramat cetek ini berhubung dengan kelebihan buku ini. Sebuah buku yang tidak tebal, tetapi cukup ringkas untuk difahami oleh seorang yang tidak berpendidikan tinggi seperti aku.


Buat permulaan ini, biarlah aku menulis di dalam blog. :)



Friday, July 17, 2009

REZEKI MENULIS


Syukur Alhamdulillah. Ada beberapa nama orang sahabat aku yang telah tersenarai sebagai pengarang yang menerima royalti tertinggi didalam arena penulisan.


TAHNIAH !


Semoga usaha anda terus cemerlang.


Aku berniat untuk membawa seorang lagi sahabat aku untuk masuk kedalam senarai seperti dibawah. InsyaAllah.


30 Pengarang PTS yang Menerima Royalti Tertinggi bagi Jualan Tahun 2008

Eksekutif Kewangan PTS (royalti), Cik Norizah Wahid, melaporkan nama 30 orang pengarang PTS yang paling banyak menerima royalti bagi jualan tahun 2008:

1. Dr. Danial Zainal Abidin
2. Ain Maisarah
3. Ainon Mohd.
4. Farihah Iskandar
5. Abdul Latip Talip
6. Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim
7. Ezee Rahmani
8. Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad
9. Sophia Qistina
10. Ann Wan Seng
11. Ahmad Fadzli Yusof
12. Zaid Akhtar
13. Kusyi Hirdan
14. Dato' Dr. Haron Din
15. Mohammad Rozani Pawan Chek
16. Ainin Naufal
17. Umi Kauthar Abdul Razak
18. Dato' Dr. Fadzilah Kamsah
19. Shamsuddin Abdul Kadir
20. Dato' Abd. Hadi Awang
21. Aizam Aiman
22. Salina Ibrahim
23. Natasya Effyzal
24. Razzi Armansur
25. Fred Suriya
26. Meor Shariman
27. Ahmad Naim Jaafar
28. Sunthara Segar
29. Mardzelah Makhsin
30. Umi Kalthum Ngah

Nota: Peraturan kewangan PTS tidak mengizinkan orang lain tahu jumlah royalti yang diterima oleh seseorang penulis, melainkan dengan arahan mahkamah.


Disalin dari blog

http://universitipts.com

Saturday, July 11, 2009

Membaca dalam gelap.


Jika kita dalam keadaan bersedih, maka bacalah sesuatu yang boleh menghiburkan. Jika kita dalam keadaan bergembira, maka bacalah sesuatu yang boleh menginsafkan.


Aku tidak pasti dari mana datangnya ayat - ayat itu. Tetapi, ianya sesuatu yang memberikan gambaran bahawa dengan membaca sebenarnya berupaya membentuk jiwa manusia seupaya menjadi kental.


Tiba - tiba sahaja, sewaktu membaca, bekalan elektrik terputus. Waktu itu, masing - masing sedang sibuk membaca. Aku sedang membaca buku. Isteri aku sedang mengajar anak kecil membaca. Ada pula yang sedang membaca Al Quran.


Kami semua riuh sebentar akibat tiada elektrik. Namun, kemudian kami semuanya mendiamkan diri. Aku bergerak perlahan - lahan dalam kegelapan untuk mencari lilin didapur.


Setelah lilin dinyalakan, kami semuanya terus sahaja memberikan tumpuan kepada apa yang telah kami lakukan iaitu menyambung membaca.


Terasa kelainan dan keseronokan pula membaca didalam keadaan diterangi oleh cahaya lilin. Teringat suatu ketika dahulu, dimana sewaktu aku kecil. Kampungku sering sahaja terputus bekalan elektrik. Maka, aku sering membaca dalam suasana yang diterangi oleh lampu gasolin sahaja. Bayangkan sebuah rumah hanya menggunakan cahaya lampu gasolin.


Zaman sudah berubah. Tidak ada lagi penderitaan seumpama itu dizaman ini. Dan, disebabkan oleh yang demikian, maka manusia pada hari ini lupa tentang asal usul mereka. Walau ramai yang masuk dan keluar dari pusat pengajian tinggi, tetapi sifat kemanusiaan seperti sudah hilang.

Sunday, July 5, 2009

Sujud dalam Gereja.



Kalau ada yang hairan, bagaimana aku masih boleh tersenyum dan ketawa ? Sedangkan kehidupan aku begitu teruk sekarang ini. Siang malam aku diuji.


Kalau aku bercerita. Yang pasti ramai yang akan menggelengkan kepala. Setakat menggelengkan kepala SAHAJA.


Ramai yang berkata KASIHAN. Kasihan SAHAJA.


Jadi, bagi aku, jalan terbaik ialah terus sujud. Senyum. Ketawa. Seolah - aku aku tidak ada masalah langsung. Sebab, kalau aku ceritakan masalah aku pun, yang pasti semua orang Islam hanya berkata "KASIHAN" .... SAHAJA.


Hingga kini, tiada seorangpun orang Islam yang bertanya "Anak isteri kamu makankah ?"


Yang bertanya soalan itu hanyalah seorang sahaja. Paderi Joseph Chong. Yang bertugas disebuah gereja di daerah Petaling. Beliau begitu prihatin dan mengambil berat akan hal ehwal aku sekeluarga.


Aku amat berharap bantuan dari Allah. Dan aku tidak berharap langsung dari manusia, khususnya UMAT ISLAM.

Thursday, July 2, 2009

Sakit Jatuh Sakit


Semua orang pernah jatuh. Tidak ada seorangpun yang terkecuali. Dari kita kecil hinggalah mati, kita akan jatuh dalam pelbagai cara dan dalam pelbagai bentuk.


Ada yang terasa sakit dan ada yang terasa manis dan indah. Bukankah jatuh cinta itu suatu yang indah ?


Cuma, setiap manusia itu berbeza dari sudut, berapa kali dalam seumur hidupnya dia jatuh. Dan adakah dia bangkit semula dari kejatuhannya ?


Sudah ramai manusia yang berjaya pada hari ini telah mengalami saat - saat kejatuhan suatu ketika dahulu. Dan mereka kuat semangat serta cekal untuk bangkit dan berusaha semula tanpa rasa letih, penat dan cepat mengalah.


Cuma satu perkara sahaja yang dipandang jelik oleh manusia iaitu - MENJATUHKAN.


Samada seseorang itu 'menjatuhkan' atau 'dijatuhkan'. Kedua - duanya menimbulkan perasaan kurang senang kepada individu terbabit.


Bak kata pepatah moden hari ini yang sengaja ditambah - tambah oleh generasi kini:


Sudahlah jatuh ... ditimpa tangga ... terjatuh atas taik ayam. ...


Berwaspadalah sentiasa.