Tuesday, March 31, 2009

ISTIGHFAR


Perbanyakkan beristighfar. Itulah pesanan yang kerap diterima dari para ulamak. Jangan meremehkan istighfar. Istighfar mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun perkataan itu kelihatan seperti pengakuan taubat, namun implikasinya terlalu jauh dari itu.


Istighfar tidak hanya boleh disebut sewaktu selesai bersolat. Ianya boleh disebut dimana sahaja, pada bila - bila masa.


Malahan, ulamak sufi ataupun ulamak tasawwuf menyatakan bahawa dengan beristighfar. Jiwa kita akan lebih dekat dengan Allah. Kita akan sentiasa terpelihara dari segala perbuatan keji dan mungkar. Bila lidah kita sentiasa menyebut istighfar dengan berulang kali, maka hati kita akan sentiasa 'dihalakan' untuk mengabdikan diri dan menyucikan jiwa kearah 'perhambaan'.


Singkatannya adalah seperti berikut dan membawa maksud seperti dibawah:
astaghfirullah, yang bermakna "Aku memohon keampunan Allah".


Dalam bahasa Inggeris, ianya membawa maksud:
astaghfirullah, meaning "I seek forgiveness from Allah".


Istighfar yang lebih lengkap adalah - ASTAGHFIRULLAH HAL'AZIM, ALLAZI LA ILA HAILLAH HUAL HAYYUL QAYYUM, WA'ATU BU ILAIH.


Membawa maksud:

"Aku memohon ampun kepada Allah yang tidak ada tuhan selain DIA, yang hidup dan selalu jaga, dan aku bertaubat padaMU".


Selain mata. Bahagian atau anggota manusia yang paling mudah dan senang untuk melakukan dosa dan maksiat ialah LIDAH.



Mencerca, memaki hamun, mengumpat, mengutuk, memfitnah, menjatuhkan maruah, bercakap kotor, dan sebagainya adalah perbuatan maksiat dan mungkar yang berhubung secara langsung antara hati dengan lidah.


Seperkara yang perlu diingat. Andainya kita berdosa secara langsung dengan Allah. Maka hendaklah kita beristighfar dan bertaubat dengan sesungguh - sungguhnya, menyesal dengan perbuatan keji yang kita lakukan. Dan seterusnya ialah perbanyakkan amalan sunat bagi menampung segala kekurangan yang ada.


Namun, andainya kita melakukan kesalahan terhadap sesama manusia, sepertimana perbuatan mengumpat dan segala macam dosa yang dilakukan melalui lidah. Maka, tidak cukup dengan sekadar bertaubat dan beristihgfar memohon keampunan dari Allah, malah adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan, iaitu memohon maaf dari manusia itu sendiri. Bukan satu jenaka, tapi permohonan maaf kepada manusia yang telah kita umpat dan sebagainya itu wajar dilakukan seberapa segera yang mungkin. Kerana ajal maut tidak kita ketahui, bilakah kehdirannya.


Begitu sukar untuk memohon maaf dari sesama manusia. Kerana, Allah adalah tuhan yang MAHA PENGAMPUN. Hinggakan ada dikalangan ulamak yang secara sinis memberikan ungkapan seperti dibawah:


"Bukan hendak menyatakan bahawa tidak mengapa jika berdosa dengan tuhan, kerana Allah Maha Pengampun. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah, andainya kita berdosa dengan manusia, hendaklah diketahui bahawa manusia memang sukar untuk memaafkan kesalahan sesama manusia".


Maka, diandaikan dosa kita tidak dimaafkan oleh sesama manusia. Bolehkah dibayangkan bagaimana kedudukan dan nasib kita di akhirat kelak ?


Cuba bayangkan, disaat kita berada dihadapan pengadilan Allah kelak. Dimana amal dan kejahatan kita begitu seimbang. Tiba - tiba, seorang HAMBA ALLAH yang pernah kita sakiti dengan lidah kita sewaktu didunia, tiba - tiba memohon PENGADILAN dari yang Maha Adil dalam pembalasannya. Adakah perjalanan kita akan mudah untuk terus melalui titian sirath ?


Fikir - fikirkanlah, renung - renungkanlah. Siapakah saudara kita yang pernah kita UMPAT KEJI FITNAH ADU DOMBA MENGATA MENCACI NISTA dan sebagainya. Sebelum menutup mata dan menghembuskan nafas terakhir.

Friday, March 27, 2009

PARTI URUSKAN JENAZAH

Aku memang jelik. Terlampau fikirkan tentang PARTI POLITIK. Sikit - sikit cerita tentang parti. Parti itu baik macam malaikat, parti lain adalah parti pengganas. Parti itulah yang paling hebat dan membangun.


Parti mesti diutamakan. Parti mesti didahulukan. Parti mesti dikuatkan. Jangan bertindak membelakangkan parti. Hidup dan mati biarlah dalam parti kita.


Aku tidak marah kalau sesiapa sahaja hendak ikut parti atau hendak jadi ahli parti atau penyokong mana - mana parti.


Aku rasa ramai juga pengunjung blog ini yang mempunyai jiran yang fanatik pada parti tertentu. Tetapi apa yang kau hendak perkatakan ialah. Kita kena ingat satu perkara yang paling utama, paling penting.


Taat pada suruhan dan titah perintah Allah. Taat pada junjungan besar Nabi Muhammad.


Aku mempunyai jiran yang aktif dan fanatik pada parti politik. Terlalu berbangga dengan penglibatan dalam kegiatan partinya membangunkan negara. Hingga tidak memperdulikan tentang urusan agama. Bila bercakap, yang lebih banyak ialah memuji pemimpin partinya.


Aku tidak mahu berdebat atau berhujjah. Yang penting aku hendak mengekalkan hubungan silaturrahim. Aku bukannya seorang manusia yang mulia. Aku adalah HAMBA ALLAH yang dhaif.


Aku jelik dengan jiran aku. Lebih mementingkan mesyuarat parti dan urusan parti dari mendekatkan diri dengan masjid dan surau. Setiap kali ada program di surau atau masjid, aku pasti akan memaklumkan kepada jiran aku. Atau kalau dia tidak ada dirumah, aku akan tinggalkan pesan kepada isteri atau anak - anaknya. Namun semua ajakan aku tidak pernah dituruti.


Rumahnya sering dikunjungi oleh pimpinan partinya. Beliau berbangga menceritakan tentang kehadiran pembesar yang datang berkunjung ke rumahnya.


Hendak dijadikan cerita. Sewaktu beliau meninggal dunia baru - baru ini. Terjadi peristiwa yang begitu menyayat hati. Dimana, hanya jiran aku yang membacakan surah Yasin disisi mayat. Pukul 10 pagi barulah Imam tiba untuk menguruskan mayat. Bila IMAM bertanyakan tentang urusan mayat. Semua anak - anaknya tidak tahu langsung tentang pelbagai urusan. Samada menyediakan kain putih, kapur barus dan pelbagai lagi kelengkapan. Dan diwaktu itulah baru anak - anaknya bergegas untuk mencarinya.


Hari menjelang tengahari. Yang aku lihat diluar rumah, hanyalah ahli kariah masjid yang sedang menunggu untuk upacara solat jenazah. Tidak kelihatan langsung kelibat tokoh - tokoh pembesar yang dibanggakan dan diagungkan oleh jiran aku itu.




Usai urusan jenazah, maka mayat disembahyangkan oleh kira - kira 20 orang ahli kariah masjid. Dan selepas itu, keranda diusung keluar dari rumah. Dan dimasukkan kedalam van. Terus ketanah perkuburan. Disitu hanyalah ahli kariah masjid, kenalan dan saudara mara arwah sahaja yang berada disisi liang lahad.


Moral dari kisah yang aku ingin sampaikan ialah. Jangan terlalu fanatik dan mengutamakan PARTI dalam segala hal.


Kita kena ingat. SIAPAKAH yang akan menguruskan mayat kita. SIAPAKAH yang akan menyembahyangkan jasad kita. SIAPAKAH yang akan mengusung keranda kita. SIAPAKAH yang akan memsasukkan tubuh kita kedalam liang lahad.


Yang terpenting ialah - Jangan DERHAKA kepada Perintah ALLAH.

Khusnya kepada kaum LELAKI. Dekatkan diri anda ke surau dan masjid.

Monday, March 23, 2009

SEDEKAH JARIAH

Sudah beberapa minggu ini. Alhamdulillah, hati aku tidak sakit, kerana aku sudah tidak lagi menonton Berita Perdana - RTM dan juga Buletin Utama TV3. Kerana, diwaktu itu, aku lebih senang berada di surau ataupun masjid.


Hasil 'sok-sek - sok-sek' dengan para jemaah. Aku yakin, ramai yang meluat, menyampah, bengang benci dengan berita yang dipaparkan.


Tidak ada cerita lain. BUNUH. ROGOL. SEKS. Dan cerita tentang POLITIK WANG. Kisah keadaan kucar - kacir pentadbiran kerajaan PAKATAN RAKYAT.


Hakikatnya, cuba lihat keadaan kehidupan masyarakat. Semuanya resah gelisah dengan ketidak tentuan ekonomi.


Sejujurnya. Aku TIDAK PEDULI siapa yang akan menang jawatan KETUA PEMUDA UMNO. Samada mukhriz atau khairy atau siapapun yang menang. Kehidupan RAKYAT sama macam itu juga. Harga barang tetap begitu juga. Resah gelisah rakyat tetap begitu juga.


Bila berada didalam surau atau masjid. Hati menjadi tenteram. Perasaan menjadi tenang. Fikiran menjadi lapang. Gelodak jiwa boleh sahaja dibersihkan dengan zikir mengagungkan kebesaran Allah. RAJA segala RAJA.


Kuliah, ceramah mahupun tazkirah yang disampaikan oleh para Ustaz. Selain dari mengingatkan tentang tugas dan tanggungjawab sebagai HAMBA ALLAH, dan sebgai khalifah diatas muka bumi ini. Juga memberikan ingatan supaya ingat tentang HARI PENENTUAN.


Dalam beberapa siri kuliah yang aku hadiri. Aku benar - benar terkesan dengan penyampaian dan isi yang cuba disampaikan oleh beberapa orang pendakwah. Dimana mereka memperkatakan tentang kewajipan bersedekah.


Aku sangkakan, dengan keadaan aku yang dhaif ini, aku boleh sahaja 'terlepas' dari tanggungjawab itu. Rupa - rupanya, mengikut tafsiran dan falsafah sedekah, aku adalah diantara golongan yang hampir 'mesti' bersedekah.


Mulanya memang aku bingung. Tetapi apabila selesai ceramah. Ya, aku semakin jelas. Bahawa tidak ada golongan yang terlepas dari tuntutan bersedekah.


Bukan hendak berbangga. Tetapi aku hanya mampu untuk menghulurkan sedikit wang syiling kedalam tabung masjid.


Usai menikmati juadah secara berjamaah. Tiba - tiba sahaja seorang pegawai masjid datang menghampiri aku dan berbisik.


"Ada dua bungkusan kuih yang tidak habis ... Ana letakkan dalam bakul motor enta" Sambil menepuk bahu aku dan berlalu dari situ.


SUBHANALLAH !!! Balasan dari Allah begitu cepat.

Friday, March 20, 2009

PANDANGLAH ALLAH

TAKUT & GERUN.


"Fear Factor"


Sifat semulajadi setiap manusia, memang ada perasaan takut. Tetapi perasaan itu akan menghilang apabila kita melakukan apa yang kita bimbang dan takut itu dengan kerap.


Kita takut apabila berada didalam kawasan yang gelap. Tetapi bila keadaan sudah terang, dan kita sudah mengetahui keadaan sekeliling. Secara beransur -ansur perasaan takut akan hilang.


Jadi yang penting adalah, kita mesti belajar dan cuba untuk mendapat sebanyak mungkin maklumat. Supaya kita mengetahui apakah gambaran sebenar.


Memang menakutkan bagi diri aku yang baru hendak menceburi bidang bisnes. Tetapi perasaan itu semakin lama semakin menyusut. Setelah mendapat gambaran dari semasa ke semasa. Dan seterusnya mendapat dorongan dan galakan dari banyak pihak. Yang penting ialah buang perasaan takut dan malu.


Cuma satu sahaja perasaan takut yang tidak boleh dikawal. Malah tidak boleh dibuang. Iaitu apabila kita berada di alam kubur. Segala macam perasaan akan timbul. Takut, cemas, gerun, bimbang dan pelbagai lagi. Dan diwaktu itu tiada siapa yang akan memberikan kata semangat, tiada siapa yang akan menghulurkan bantuan dan sokongan.


Diwaktu itu. Hanyalah amalan soleh sahaja yang akan menjadi bekalan buat kita berhadapan dengan perasaan itu.


Hanya AL QURAN yang kita BACA sahaja yang akan MENERANGI tempat kita.
Hanya SEDEKAH JARIAH sahaja yang akan memujuk hati kita supaya tidak takut.
Hanya DOA dari anak yang soleh sahaja yang akan mengurangkan seksaan keatas kita.


Diwaktu itu barulah kita TERSEDAR.


Ya Allah, berapa SAAT dalam satu hari aku SUJUD kepadamu ?
Ya RASULULLAH, berapa WAKTU dalam satu hari aku mengikut SUNNAHmu ?
Ya AL QURAN, berapa lama dalam satu hari aku mengamalkan ayat - ayatmu ?


Diwaktu itu. Permintaan kita hanya satu. "Ya Allah, aku memohon kepadaMU, berilah aku SATU HARI SAHAJA ! untuk aku kembali ke dunia dan MENGABDIKAN diriku kepada MU."


Cemas, gerun, takut, bimbang .... tidak berkesudahan. Ribuan tahun menunggu - HARI PEMBALASAN.

Saturday, March 14, 2009

Rezeki dari langit terbuka.

"Ya Allah, permudahkanlah urusan kami."


Sudah beberapa hari aku melakukan perjalanan yang agak jauh. Bukan mudah sebenarnya, melakukan pelbagai perkara dalam satu hari dilokasi yang berlainan dan dalam jarak yang berbeza.


Hinggakan anak aku yang turut sama telah ketawa, sambil berkata "kita solat jamak Zohor dan Asar disurau Jejantas Sungai Buloh, kita solat Maghrib dan Isya' di Masjid KLIA."


Walaupun pada mulanya, kami agak terkial - kial untuk mengerjakan solat jamak dan qasar. Namun, apabila kerap dipraktikkan, Alhamdulillah, ianya menjadi mudah sebagaimana Allah mempermudahkan hambaNYA untuk mengerjakan solat sewaktu dalam keadaan bermusafir.


Apa sahaja yang berlaku sewaktu dalam perjalanan adalah diluar kawalan kita sebagai manusia. Namun sebagai makhluk yang diberikan akal, maka kita boleh berusaha untuk mengelakkan daripada sesuatu musibah.


Allah yang Maha Menentukan segalanya. Alhamdulillah, perjalanan kami begitu lancar.

Friday, March 13, 2009

Tuntutan SYAHADAH

Hidup tanpa SOLAT.


Aku benar - benar terpaku, terpana. Aku langsung tidak berupaya untuk berkata apa - apa. Selain dari beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah.


Kejadian berlaku baru - baru ini. Dimana, seorang sahabat sepermainan dari kecil. Tiba - tiba sahaja membuat pengakuan. Beliau tidak tahu langsung untuk bersolat.


Bukan perkara main - main. Semakin banyak yang aku tanya. Semakin aku merasa takut dan hiba, tiba - tiba sahaja.


Dengan penuh hikmah aku menyuruhnya mengucap dua kalimah syahadah yang maha suci itu. Sahabat aku hanya mampu menyebut "La ila haillallah, Muhammad Rasulullah" dengan tergagap - gagap.


Aku memegang tangannya dengan penuh kasih sayang. Aku tidak mahu bertanya apa - apa lagi. Aku berjanji, akan membimbingnya kembali ke pangkal jalan, InsyaAllah.


Ini bukan kes terpencil. Masih aku ingat lagi, sewaktu menghadiri kursus perkahwinan hampir 20 tahun yang lalu. Dimana, dari seramai 30 orang peserta. Hampir 20 orang tidak tahu dengan tepat bilangan rakaat dalam setiap waktu solat.


Yang semakin jelas, semakin ramai yang takut menderhaka kepada pemimpin daripada takut menderhaka kepada suruhan tuhan.